Iklan Jana wang Di Rumah
MALAYSIA TIDAK PANDANG RINGAN ANCAMAN PENGGANAS, TERMASUK MILITAN IS - HISHAMMUDDIN
Isnin, 16 November 2015
HISHAMMUDDIN: Kalau kita benarkan mereka bermaharajalela,
akhirnya kita terpaksa berdepan dengan suatu situasi di mana mereka menguasai
keadaan.
KUALA LUMPUR: "Kalau mereka hendak cuba mengugut dan
menakutkan pemimpin negara, ia tidak akan berjaya.'
Itu amaran Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Hussein kepada kumpulan pengganas yang cuba untuk mengancam keselamatan negara.
Hishammuddin memberi jaminan, tidak ada perkara yang perlu
dibimbangkan, takut mahupun tunduk kepada ancaman pengganas termasuk militan
IS.
"Kita tidak takut atau tunduk kepada mereka
(pengganas). Kalau kita benarkan mereka bermaharajalela, akhirnya kita terpaksa
berdepan dengan suatu situasi di mana mereka menguasai keadaan dan ini kita
tidak boleh benarkan.
"Bagi saya kalau mereka nak cuba ugut dan hendak
menakutkan pemimpin negara, ia tidak akan berjaya," tegas Hishammuddin di
lobi Parlimen hari ini.
Menurut Hishammuddin, iltizam dan semangat kerajaan untuk
menentang ancaman pengganas di tahap tinggi.
"Mereka tidak akan berjaya kerana iltizam dan semangat
kita untuk berdepan dengan kumpulan pengganas ini, walaupun fenomena baru,
walaupun pendekatan mereka berbeda daripada dulu.
"Bila kita berdepan dengan Al-Qaeda, Jemaah Islamiah
(JI), Mat Selamat dan Nordin Mat Top ia tidak ada beza. Bila kita menentang
mereka (bermakna) kita menentang mereka kerana mereka merupakan risiko kepada
keselamatan dan pertahanan negara dan itu pegangan kita dalam apa juga
keadaan," tegas Hishammuddin.
Ditanya mengapa pemimpin Malaysia turut menjadi ancaman
militan IS, jawab Hishammuddin kerajaan telah mengambil pendekatan yang amat
tegas dalam menentang militan tersebut.
"Kita telah mendapat persetujuan 10 negara ASEAN untuk
menentang mereka. Kita merupakan negara Islam yang sederhana. Apa sahaja yang
menentang militan IS, itu yang Malaysia bersetuju," katanya.
Menurutnya, telah tiba masa untuk semua pihak mengambil
tindakan segera dan tidak memandang ringan ancaman dibuat pengganas.
Hishammuddin bagaimanapun, enggan mendedahkan nama-nama
pemimpin negara yang menerima ancaman pengganas.
Semalam, Hishammuddin mengesahkan ada pemimpin negara ini
menerima ancaman pengganas termasuk dirinya.
"(Mengenai) ancaman dan juga ugutan itu saya
mengesahkan (ia berlaku) terhadap pemimpin-pemimpin negara ini. Ia merupakan
sesuatu yang telah dilaporkan kepada saya tempoh hari dan telahpun dimaklumkan
kepada orang ramai.
"Ini bermakna bahawa keselamatan negara, pemimpin, dan
serantau dalam konteks ancaman tidak boleh diambil mudah kerana sesiapa sahaja
boleh menjadi individu yang membawa huru-hara. Tengoklah apa yang berlaku pada
Perancis hari ini," kata beliau.
Posted by Unknown in Artikel, Berita, Home, Media