KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 4 yang mengingkari larangan polis ternyata gagal mendapat sokongan rakyat yang cintakan keamanan apabila dianggarkan hanya 22,000 mengambil bahagian dengan lebih 80 peratus peserta adalah Cina. Himpunan haram itu yang lebih bermotif politik diterajui parti pembangkang, menerima tamparan hebat apabila bekas rakan pakatan iaitu PAS tidak menyokong dan keadaan itu menjelaskan sambutan dingin yang diterima berbanding hampir 100,000 dalam himpunan seumpamanya sebelum ini. Dengan ketiadaan PAS, Bersih 4 turut dilihat sebagai medan pembangkang untuk mempromosikan platform gerakan siasah diterajui bekas pimpinan PAS yang kecewa iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dizahirkan dengan kehadiran pengerusinya, Mohamad Sabu. Pemimpin parti pembangkang lain yang dilihat hadir dalam himpunan haram itu ialah Lim Kit Siang, Azmin Ali, Datin Seri Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar dan kalangan wakil rakyat pembangkang.


Walaupun himpunan itu diisytiharkan haram dan menyebabkan perniagaan terjejas dan kesesakan trafik yang teruk, polis tidak membuat sebarang tangkapan atau mengesan insiden tidak diingini setakat petang tadi. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, dalam kenyataan petang tadi berkata keadaan keselamatan adalah terkawal dan peserta perhimpunan masih berkumpul berdekatan Dataran Merdeka. "Polis Kuala Lumpur masih meneruskan kawalan, terutama di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan peserta perhimpunan berkumpul. "Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya. Tajudin berkata, polis akan terus memastikan Bandaraya Kuala Lumpur berada dalam keadaan selamat dan ketenteraman awam terkawal. Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka esok bagi menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang itu. Hari ini, peserta himpunan haram itu mula berkumpul di beberapa lokasi tumpuan di sekitar ibu kota mulai jam 11 pagi untuk meneruskan demonstrasi jalanan itu walaupun jelas mereka mengingkari arahan polis supaya tidak diadakan. Peserta perhimpunan itu yang majoritinya berbaju T kuning dan membawa peralatan memaparkan perkataan Bersih 4, mula berkumpul di lima kawasan yang ditetapkan penganjur Bersih 2.0 iaitu di Kompleks Sogo, Pasar Seni, Menara Maybank, Brickfields dan Masjid Negara. Penganjur perhimpunan itu gagal mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. DBKL juga tidak memberi kebenaran kepada penganjur perhimpunan disebabkan Dataran Merdeka ditetapkan sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini. Pada jam 12.30 tengah hari, sebahagian daripada mereka mula berarak menuju Dataran Merdeka sebaik saja selesai raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan. Sebahagian peserta perhimpunan haram ini dilihat turut membuat provokasi namun berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan. Perhimpunan haram ini menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk di sekitar jalan menuju ke Dataran Merdeka. Perhimpunan itu tidak sah berikutan kegagalan penganjur mematuhi peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012. Perhimpunan itu diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching. Perhimpunan di Kuching dianggap sah selepas pihak berkuasa memberi kebenaran kepada penganjur kerana ia mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Penganjuran Bersih 4 yang terlalu hampir dengan tarikh sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini disifatkan oleh beberapa pihak sebagai tidak sesuai dan tidak menghormati acara bersejarah negara. Malam tadi kerajaan mengharamkan pemakaian baju warna kuning yang tertera perkataan 'Bersih 4'. Turut diharamkan semua bahan bercetak berkaitan dengan perhimpunan itu. Dalam pada itu, beberapa peniaga yang ditemui berkata perniagaan mereka turut terjejas disebabkan perhimpunan haram ini. Penyelia restoran The Loaf di Sogo mengakui perniagaan terjejas hampir 50 peratus berikutan perhimpunan haram itu. Seorang penjual makanan ringan di tapak pasar malam Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dikenali sebagai Miki berkata, gerainya berkemungkinan besar terpaksa ditutup lebih awal jika perhimpunan itu diteruskan.