KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan terbakar dalam semak di Jalan Lama Gombak-Bentong, di sini, malam tadi. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata mayat masih belum dikenal pasti identitinya itu ditemui orang awam pada jam 7.50 malam dan memaklumkannya kepada polis. "Mayat terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya ketika dihubungi. Ali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu, diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.