IPOH 20 Ogos – Satu Unit Khas Pemantauan Pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera perlu ditubuhkan bagi memastikan segala inisiatif atau usaha membantu golongan bumiputera berjalan dengan lancar dan telus.

Perkara itu dicadangkan oleh Datuk Aminuddin Md. Hanafiah (BN-Ulu Kinta) yang tidak mahu agenda bumiputera khususnya dalam sektor ekonomi dan keusahawanan hanya dipantau ketika timbulnya masalah.

Katanya, unit itu juga boleh memainkan peranan supaya inisiatif agenda pemerkasaan bumiputera dilaksanakan secara telus dan tiada amalan kronisme.

“Ketika ini ada satu unit usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), tetapi itu tidak mencukupi, mereka tidak ada legimitasi, tidak boleh ambil tindakan.

“Perlu ditubuhkan satu unit baharu, diletakkan di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Ini lebih efektif dalam memastikan agenda pemerkasaan bumiputera sentiasa dipantau, dilakukan secara telus, berdasarkan merit dan bukan kronisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin meminta semua pihak, khususnya kaum bukan bumiputera supaya menerima hakikat bahawa isu berkaitan pemerkasaan golongan bumiputera perlu ditangani secara bersama.

Katanya, perkara itu perlu kerjasama daripada semua kaum kerana tidak mahu timbul suasana keresahan sehingga menjejaskan hubungan berikutan pembahagian kek ekonomi yang tidak sekata.

“Ini hakikat, kita kena terima, pihak pelaksana juga perlu terima hakikat bahawa mereka gagal. Setelah 30 tahun, masih tidak capai apa yang disasarkan.

“Masa sudah tiada, kita hampir menuju negara maju 2020. Kita tidak mahu mana-mana struktur masyarakat tertinggal, mahu sama-sama naik, sama-sama gembira,” jelas beliau.