Kebanyakan orang akan mengalami masalah sakit kepala (headache) dari masa ke masa, tidak kiralah sama ada sakit itu sedikit ataupun sangat teruk. Cara menghilangkannya bergantung kepada jenis sakit kepala itu sendiri, namun terdapat beberapa cara untuk mengurangkan kesakitan dan petua menghilangkannya dalam jangka masa yang panjang – untuk mengelakkan kesakitan itu berterusan dan semakin bertambah.

Dalam artikel kali ini, kami akan menyenaraikan beberapa petua dan cara menghilangkan sakit kepala yang berkesan, dan berikut adalah senarai kandungan artikel ini:


    Kaedah #1: Memberhentikan Kesakitan
    Kaedah #2: Rawatan Tradisional Dan Petua
    Kaedah #3: Ubah Cara Hidup
    Kaedah #4: Hilangkan Sakit Kepala Mengikut Jenis
    Tips
    Amaran
    Kesimpulan

Jom mulakan!

Kaedah #1: Memberhentikan Kesakitan

Sekiranya anda mengalami sakit kepala, perkara pertama yanga anda akan fikir adalah bagaimana untuk hilangkan rasa yang sakit tersebut. Berikut adalah beberapa cara cadangan yang anda boleh gunakan:


1. Rujuk Bantuan Doktor

Sekiranya anda mengalami masalah sakit kepala yang sangat kuat, adalah terbaik langkah pertama yang anda ambil adalah mendapatkan nasihat doktor. Hal ini kerana untuk mengesahkan masalah sakit kepala itu tidak bersangkut paut dengan simptom-simptom penyakit yang lain. Penyakit seperti strok, encephalitis ataupun meningitis boleh menyebabkan sakit kepala yang agak teruk.

Dapatkan nasihat doktor dengan kadar yang segera sekiranya anda mengalami beberapa perkara di bawah:

    Masalah berjalan
    Leher tegang
    Loya dan/atau muntah
    Demam panas
    Sukar menggerakkan anggota badan
    Berasa tersangat lemah
    Sakit kepala yang sangat kerap
    Ubat-ubatan yang digunakan tidak berhasil


2. Dapatkan Ubat-Ubat Farmasi

Kebanyakan ubat tahan sakit akan memberikan kesan yang agak lama selepas mengambilnya (dalam anggaran 60-120 minit). Oleh itu, anda digalakkan untuk mengambilnya sebaik sahaja anda merasakan sakit kepala.

Selain paracetamol, ataupun Panadol yang kita sering ambil semasa sakit kepala, penggunaan ibuprofen, acetaminophen, naproxen, aspirin ataupun capsaicin nasal spray juga boleh digunakan sebagai gantian.

Namun, berhati-hati dengan dos yang diambil. Jangan melebihi dos harian yang dinyatakan ataupun dinasihatkan oleh doktor anda. Penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan Medication Overuse Syndrome, iaitu satu sindrom di mana seseorang itu tetap mengambil ubat sakit kepala walaupun dia tidak mengalami masalah sakit kepala pada ketika itu.

Penggunaan yang berlebihan ini boleh menyebabkan masalah sakit kepala yang kerap pada masa hadapan, juga sering dikenali sebagai “rebound headaches”.


3. Berhati-Hati Dengan Kafein

Minuman ataupun makanan yang mengandungi kafein boleh dikatakan sebagai pedang dua mata. Hal ini kerana ia boleh menjadi satu ubat dan juga satu punca sakit kepala itu bertambah teruk – ia bergantung kepada orang itu sendiri.

Kebanyakan ubat-ubatan yang anda boleh dapati mengandungi kafein, untuk mencepatkan keberkesanan ubat tahan sakit tersebut.

Semasa sakit kepala, adenosine dibebaskan ke dalam saluran darah. Kafein membantu dengan menghalang reseptor adenosine. Hadkan pengambilan kafein untuk merawat saikt kepala kepada dua kali seminggu. Pengambilan yang banyak boleh menyebabkan anda menjadi caffeine dependent, terutama kepada yang mengalami migrain.

Sekiranya anda seorang peminum kopi tegar (lebih daripada 200mg sehari, ataupun 2 cawan kopi) dan anda secara tiba-tiba tidak mengambilnya dalam sehari itu, anda akan mengalami masalah sakit kepala sebagai satu kesan sampingan.

Hal ini kerana mengambilan kafein ataupun kopi setiap hari mengembangkan saluran darah ke kepala. Sekiranya anda tidak mengambilnya pada suatu hari itu, saluran tersebut akan mengecil dan akan menyebabkan tekanan pada kepala, lantas menyebabkan anda berasakan sakit kepala. Jika anda ingin mengurangkan kadar pengambilan kafein, anda perlu melakukannya dengan kadar yang perlahan.

Jika anda tidak peminum kopi, dan anda kerap merasakan sakit kepala, adalah terbaik bagi anda agar tidak meminum kopi kerana ada kemungkinan sakit kepala akan lebih teruk jika ada pengambilan kafein.


4. Minum Air Yang Banyak

Dehidrasi (dehydration) boleh menyebabkan masalah sakit kepala. Minum air masak dengan kadar yang banyak jika kepala anda mula berasa sakit, dan kerapkan pengambilan air sepanjang hari tersebut (walaupun dengan kadar yang sedikit setiap pengambilan). Anda akan merasakan kesakitan itu akan berkurangan.

    Bagi lelaki: minum sekurang-kurangnya 13 gelas air (3 liter) setiap hari
    Bagi perempuan: minum sekurang-kurangnya 9 gelas air (2.2 liter) setiap hari

Anda perlu minum air yang lebih banyak daripada saranan yang dinyatakan diatas sekiranya anda dalam situasi-situasi berikut:

    menjalani aktiviti senaman ataupun yang berat
    tinggal dikawasan yang panas
    sakit yang kerapkan anda muntah atau cirit-birit
    sedang menyusukan anak

Sekiranya anda ingin menggunakan cara ini, anda dinasihatkan agar tidak meminum air yang sangat sejuk (berais). Hal ini kerana minuman ini boleh menyebabkan migrain kepada sesetengah orang – lebih-lebih lagi kepada orang yang sering mengalami migrain. Pengambilan air masak pada suhu bilik adalah terbaik dalam kes ini.


5. Berehat Pada Tempat Yang Sesuai

Sebaik-baik tempat untuk berehat semasa anda sakit kepala adalah tempat yang sunyi dan gelap. Sekiranya boleh, cuba baring dan rileks/berehat selama 30 minit. Pejam mata, tutup lampu.

Selain itu, anda juga boleh tidur sekejap untuk melegakan kesakitan tersebut. Pastikan tempat anda tidur/berehat tersebut selesa dan kepala anda mendapat sokongan seperti bantal.

Anda juga boleh memilih suhu yang sesuai dengan anda semasa berehat. Sesetengah orang lebih selesa dalam keadaan yang sejuk berair-cond, manakala sesetengah orang lain pula lebih selesa dengan angin kipas sahaja. Mana-mana pun boleh, pilihlah yang mana anda berasa lebih selesa.


6. Praktikkan Senaman

Percaya atau tidak, senaman ringan juga boleh membantu anda menghilangkan sakit kepala. Hal ini kerana masalah sakit kepala salah satunya berpunca daripada kekurangan bekalan darah ke kepala. Dengan sedikit senaman ringan, anda boleh membantu saluran darah ke otak, lantas mengurangkan sakit kepala.

Anda boleh menggunakan yoga untuk tujuan tersebut, namun sekiranya tidak biasa, ikuti langkah-langkah yang mudah ini:

    Baring dalam posisi yang anda selesa. Pejam mata dan tarik nafas yang panjang.
    Bermula dengan dahi, tegangkan semua otot ke sesuatu tempat untuk 5 saat.
    Mengendurkan otot tersebut dan biarkan 5 saat untuk merasakan kelegaan tersebut.
    Seterusnya, beralih kepada otot-otot yang lain pula, antara otot yang anda boleh lakukan adalah: dahi, mata, hidung, mulut/pipi, tangan, bahu, belakang badan, perut, pinggan, punggung, peha dan kaki.

Semoga berjaya!

7. Gunakan Kain Basah/Sejuk

Pernah tengok tak orang tua-tua menggunakan kain yang basah ataupun sejuk dan letakkannya diatas dahi orang yang sakit/demam – mungkin biasa tengok cerita drama Cina/Jepun ataupun anime yang bertemakan zaman dahulu.

Hal ini kerana benda yang sejuk dan lembut yang diletakkan diatas dahi/kepala boleh melegakan saluran darah dan secara tidak langsung mengurangkan kesakitan kepala.

Sekiranya anda berminat dengan cara ini, ada beberapa cara untuk melakukannya:
i. Kain dan Air Sejuk

    Sediakan kain yang lembut dan air masak ataupun air yang sejuk.
    Basahkan kain tersebut dengan merendamnya ke dalam air tersebut. Perah sedikit untuk mengelakkan air terlalu banyak.
    Letakkannya di atas dahi anda untuk beberapa minit.
    Basahkan kain tersebut sebaik sahaja kain tersebut mula berasa suam (kerana menyerap suhu badan anda).

ii. Plastik dan Ais

    Sediakan beg plastik yang boleh di tutup ataupun seal, dan air.
    Masukkan air ke dalam beg plastik tersebut, kemudian sealkannya.
    Biarkan air tersebut membeku (menjadi ais) di dalam peti sejuk.
    Keluarkannya, dan letakkan di atas kepala anda. Anda boleh menggunakan kain sebagai alas.

iii. Gunakan Produk Komersial

Sekarang, sudah terdapat produk-produk komersial yang menggunakan konsep ini dalam bentuk patch yang mudah dipakai di dahi. Anda boleh mendapatkannya dari kedai-kedai runcit dan farmasi yang berdekatan.

Sekiranya sakit kepala anda berpunca daripada stress, penggunaan air panas memberikan kesan yang lebih baik berbanding dengan air sejuk. Oleh itu, pastikan anda tahu punca sakit kepala anda sebelum mencuba cara-cara di atas.


8. Urutan Pada Muka dan Kepala

Pada umumnya, jika anda mengalami masalah sakit kepala, urutan pada kulit kepala boleh membantu melegakan kesakitan tersebut. Hal ini kerana dengan mengurut boleh membantu sistem peredaran darah ke kepala dan otak, dan secara tidak langsung melegakan sakit kepala.

Cara-caranya adalah mudah sahaja:

    Letakkan ibu jari ataupu jari pelunjuk pada sisi kepala (tempat di antara telinga dan mata).
    Berikan sedikit tekanan pada tempat tersebut dengan jari anda dan gerakkan dalam pusaran/bentuk bulat.

Selain cara di atas, anda boleh mengurut kulit kepala anda. Anda boleh menggunakan syampu dan mengurut kepala anda dengannya. Salah satu cara yang lain adalah dengan menggunakan minyak kelapa ataupun minyak zaitun. Sapukan pada kulit kepala dan urutnya seperti biasa.


9. Urut Leher dan Bahu

Tekanan pada leher dan bahu boleh menyebabkan masalah sakit kepala. Dan sakit kepala jenis ini adalah yang paling mudah untuk di atasi.

Anda boleh menggunakan senaman yang ringan untuk melegakan sakit kepala anda. Salah satunya adalah dengan menggunakan senaman panaskan badan yang melibatkan pergerakan kepala, bahu, lengan dan pinggan.

Selamat mencuba!


10. Guna Kaedah Akupuntur

Cara rawatan akupuntur boleh menghilangkan sakit kepala, terutama masalah sakit kepala yang berpunca daripada tekanan (stress) dan ketegangan otot. Jika anda ingin menggunakan kaedah ini, anda perlu mengetahui asas-asas titik akupuntur, sekiranya tidak, anda digalakkan untuk mencuba cara yang lain (untuk mengelakkan kemudaratan).

Secara ringkasnya, kaedah ini memerlukan anda menekan titik akupuntur anda dengan tekanan yang tertentu dan dalam jangka masa yang tertentu. Jika anda berminat, anda boleh dapatkan gambar rajah titik akupuntur anda dibawah dan tekan pada titik tersebut pada badan anda. Anda juga boleh mengurut pada titik tersebut jika mahu.
akupuntur untuk rawat sakit kepala

Sumber: Yamamoto.hu


11. Belajar Untuk Rileks

Orang di seluruh dunia mempelajari dan menguasai cara-cara untuk mengalihkan perhatian daripada berasa sakit. Jika anda mengalami sakit kepala, anda tidak perlu mempelajari benda yang baharu kerana anda mungkin sudah mengenalpasti cara yang sesuai untuk menenangkan diri anda.

Anda boleh memilih beberapa cara cadangan di bawah:

    Meditasi
    Bersolat
    Tarik dan hembus nafas yang panjang
    Dengar musik
    Tidur

Apa yang penting adalah anda melakukan perkara yang boleh menenangkan anda, ataupu perkara yang anda suka lakukan. Hal ini boleh mengalihkan perhatian otak anda daripada perasaan sakit kepada perkara yang anda sedang lakukan tersebut.


12. Amalkan Senaman Bernafas

Kadang kala, dengan bernafas sudah cukup untuk menghilangkan sakit kepala. Apa yang saya ingin sampaikan adalah dengan menarik dan menghembus nafas yang panjang. Hal ini kerana cara ini boleh melegakan sebarang tekanan minda dan otot anda untuk beberapa ketika.

Untuk mengamalkan kaedah ini, anda sebaik-baiknya berada di tempat yang sunyi, suhu yang sesuai dan gelap.

Baringkan badan anda dalam posisi yang anda rasa paling selesa, dan mula menarik nafas yang panjang, sehingga anda dapat rasa paru-paru anda berkembang. Tahan nafas selama 2-5 saat, kemudia menghembusnya melalui mulut. Lakukannya untuk beberapa kali sehingga sakit kepala anda berkurangan.


Kaedah #2: Rawatan Tradisional Dan Petua

teh rawat sakit kepala

Terdapat banyak rawatan tradisional (remedi) ataupun petua untuk menghilangkan sakit kepala. Namun begitu, anda perlu tahu bahawa penggunaan remedi ada kemungkinan kepada reaksi alahan, dan beberapa situasi di mana anda tidak digalakkan untuk menggunakannya (seperti semasa mengandung).


1. Rawatan Herba

Terdapat beberapa bahan herba yang dilaporkan boleh menghilangkan rasa sakit kepala. Tapi, kajian saintifik membuktikan bahawa keberkesanannya adalah bergantung kepada seseorang itu. Dan sekiranya bahan-bahan yang dinyatakan di bawah ini memberikan kesan sampingan, sila berhenti menggunakannya dengan kadar yang segera.
i. Butterbur

Kajian menunjukkan bahawa butterbur boleh mengurangkan kadar migrain. Ambil dua kapsul 25mg setiap hari untuk 12 minggu untuk mengurangkan kadar berlakunya migrain sebanyak 60%. Jangan memakan/meminum tumbuhan ini secara terus kerana ia kemungkinan mengandungi toksin yang biasanya dikeluarkan sebelum dijadikan dalam bentuk kapsul.
ii. Halia

Selain boleh hilangkan sakit kepala, halia juga boleh merawat rasa loya dan muntah, yang mana salah satu kesan sampingan sakit kepala yang teruk. Satu kajian saintifik telah menjumpai bahawa supplemen halia lebih berkesan dalam menghilangkan sakit kepala berbanding dengan placebos, iaitu satu pil yang digunakan untuk memberikan ketenangan kepada pesakit psikologi.
iii. Coriander

Biji coriander boleh digunakan untuk mengurangkan kadar inflamasi yang menyebabkan sakit kepala. Biji tersebut boleh dikunyah, digunakan dalam rendaman teh, ataupun diambil dalam bentuk pil ekstrak.
iv. Feverfew

Feverfew boleh diambil dalam bentuk pil ataupun tablet, digunakan bersama teh ataupun dimakan bersama sandwich. Terdapat beberapa bercanggahan tentang keberkesanannya, namun sudah digunakan sejak seribu tahun yang lalu.

Setakat ini, tiada kesan sampingan yang teruk, walupun anda mungkin akan mengalami ulser mulut, masalah penghadaman dan buncit. Penggunaan yang berterusan boleh mengganggu tidur.
v. Willow

Willow boleh diambil dalam bentuk pil/tablet dan boleh mengurangkan kadar migrain dengan pengambilan 2 kali setiap hari.
vi. Teh

Satu cawan teh daripada passionflower, rosemary ataupun lavender boleh mengurangkan sakit kepala. Teh peppermint ataupun chamomile boleh membantu anda untuk rehat dan rileks.


2. Aromaterapi

Cara penyediaan aromaterapi mungkin berbeza, namun biasanya orang akan menggunakan lavender, sweet marojam dan chamomile untuk menghilangkan sakit kepala.


3. Kawal Pemakanan

Pemakanan boleh memainkan peranan yang penting kepada sakit kepala. Anda boleh sakit kepala sekiranya kekurangan sesetengah jenis nutrisi, dan sesetengah boleh menyebabkan sakit kepala jika pengambilan yang berlebihan (MSG, coklat).

Oleh itu, anda perlu memberikan perhatian yang lebih semasa makan dan elak daripada memakan makanan yang boleh memberikan anda sakit kepala. Anda juga boleh menghilangkan sakit kepala dengan pengambilan sesetengah jenis makanan.

Apakah makanan itu? Baca di bawah:
i. Kacang Almond

Kacang ini mengandungi magnesium, yang mana boleh melegakan saluran darah dan mengurangkan saikit kepala. Selain kacang ini, anda juga boleh mengambil makanan yang tinggi kadar magnesiumnya, antaranya adalah pisang, avocado dan kacang cashew.
ii. Makanan yang Pedas

Keberkesanan makan makanan yang pedas dalam menghilangkan sakit kepala berbeza mengikut seseorang dan jenis sakit kepala itu sendiri. Walaupun begitu, jika anda mengalami sakit kepala yang berkait dengan selesema, pemakanan makanan yang pedas boleh melegakan saluran pernafasan anda dan membenarkan anda bernafas dengan baik. Perkara ini secara tidak langsung mengurangkan rasa sakit kepala.
iii. Bayam

Bayam boleh mengurangkan kadar tekanan darah dan melegakan sakit kepala. Anda memasukkan sayur ini kedalam diet anda untuk menghilangkan sakit kepala.
iv. Kopi ataupun Minuman Berkafein

Kafein boleh melegakan saluran darah, yang boleh mengurangkan kadar rasa sakit kepala. Namun, begitu keberkesanannya berbeza mengikut seseorang. Malah, pengambilan yang berlebihan pula boleh menyebabkan seseorang migrain.

Sebagai satu alternatif, anda boleh menggantikan kopi dengan teh, kerana ia mengandungi kadar kafein yang lebih sedikit berbanding dengan kopi.


Kaedah #3: Ubah Cara Hidup

ubah gaya hidup

Percaya atau tidak, cara dan gaya hidup seseorang boleh mempengaruhi kesihatan seseorang, dan ini juga merupakan salah satu faktor berlakunya sakit kepala kepada sesetengah orang. Jadi cara yang terbaik untuk mengelak daripada mendapat sakit kepala oleh gaya hidup yang tidak sihat, senarai ini boleh membantu:


1. Kerapkan Bersenam

Bersenam boleh mengurangkan tekanan dan menghilangkan sakit kepala, malah menghalangnya daripada berlaku sekali lagi pada masa hadapan. Namun, sekiranya anda tidak sempat untuk bersenam, pergerakan badan secara beransur-ansur juga boleh memberikan kesan yang baik kepada peredaran darah di dalam badan anda. Secara tidak langsung boleh mengelakkan daripada berlakunya masalah sakit kepala.


2. Sediakan Tempat Kerja Yang Sesuai

Cara anda duduk di meja ataupun semasa menggunakan komputer di pejabat boleh menyumbang kepada berlakunya masalah sakit kepala, ia bergantung kepada postur badan anda. Pastikan postur anda betul, ketinggian kerusi dan meja dalam keadaan yang sesuai dan selesa.

Pastikan leher anda dalam keadaan neutral/biasa semasa anda membuat kerja. Sekiranya tidak, anda perlu membuat sedikit perubahan pada tempat kerja anda. Pastikan anda mengikuti postur badan seperti di bawah:
cara menghilangkan sakit kepala dengan postur yang betul

Sumber: UPMC.com

Selain itu, anda digalakkan untuk mengambil rehat dalam jangka masa yang sesuai. Cuba melakukan pergerakan seperti berjalan, bangun dari tempat duduk ataupun ke tandas. Lakukan ini setiap sejam ataupun 30 minit. Anda akan merasakan perubahannya.


3. Ubah Diet dan Gaya Pemakanan

Walapun cara ini tidak boleh menghilangkan sakit kepala anda dengan serta merta, namun mengamalan diet yang sihat boleh mengurangkan kekerapan anda mendapat sakit kepala pada masa hadapan – kebanyakan faktor berlakunya sakit kepala berpunca daripada makanan.

Sekiranya anda tidak tahu dimana untuk mula, dapatkan rujukan doktor ataupun pakar pemakanan merupakan langkah yang terbaik. Kenal pasti makanan yang anda ada alahan dan keluarkannya dari menu diet/pemakanan anda.

Kurangkan pengambilan minuman/makanan yang mengandungi kafein. Sekiranya anda sekarang merupakan peminum kopi yang tegar, pengurangan kopi akan memberikan anda sakit kepala, namun lama-kelamaan, rasa itu akan berkurangan.

Elakkan daripada makan makanan yang mengandungi MSG, kerana bahan tersebut boleh menyebabkan sakit kepala kepada sesetengah orang.


4. Belajar Untuk Tenangkan Diri

Jika anda sering mengalami tekanan diri, kecewa dan marah, anda akan menghasilkan satu otot yang boleh menyebabkan sakit kepala. Untuk mengelakkan masalah ini, anda dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan pakar psikologi untuk mengawal emosi anda.

Selain itu, anda juga boleh mengurangkan tekanan diri dengan bersenam dan melakukan perkara yang anda suka untuk mengalihkan perhatian daripada masalah yang menyebabkan kemurungan dan stress tersebut.


5. Catat Corak Sakit Kepala

Dengan melakuakan ini, anda boleh menentukan corak dan faktor berlakunya sakit kepala. Perkara tersebut boleh jadi tekanan tempat kerja, alahan makanan, ataupun permulaan haid.

Dengan mengetahui corak dan sebab-sebab ini, anda boleh bersedia dengan persediaan mengatasi masalah sakit kepala sebelum ini terjadi.


6. Berhenti Merokok

Merokok boleh menyebabkan sakit kepala dan beberapa masalah kesihatan yang lain. Rokok mengandungi bahan-bahan yang merbahaya kepada badan, antaranya adalah:

    Carbon Monoksida – mengurangkan kadar penyerapan oksigen ke kepala
    Nikotin – mengecilkan saluran darah, mengurangkan kadar peredaran darah

Satu-satunya cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan berhenti merokok. Dan kajian telah membuktikan bahawa orang yang mengurangkan dan berhenti secara total amalan hisap rokoknya dapat mengalami masalah sakit kepalanya berkurang sebanyak 50%.

Selain itu, asap rokok juga boleh menyebabkan sakit kepala kepada orang awam yang menghidunya. Oleh itu, sekiranya anda alah kepada asap rokok, anda digalakkan untuk menghindari orang yang hisap rokok untuk mengelakkan anda menjadi mangsa keadaan.


Kaedah #4: Hilangkan Sakit Kepala Mengikut Jenis

jenis sakit kepala

Kenalpasti jenis sakit kepala yang anda alami. Kebanyakan sakit kepala berpunca daripada tekanan ataupun gaya hidup, ianya tidaklah sangat bahaya (walaupun ia tetap sakit). Ia masih boleh diatasi dengan mudah.

Jika anda mengalami sakit kepala yang kerap, yang teruk, tidak hilang selepas memakan ubat, dan terikat dengan simptom-simptom yang lain; anda perlu dapatkan nasihat doktor dengan segera untuk diagnos lengkap. Terdapat banyak penyakit yang boleh mengakibatkan sakit kepala, oleh itu anda perlu mengetahui kenapa anda mengalami sakit kepala tersebut.


1. Sakit Kepala Disebabkan oleh Stress/Tekanan

Sakit kepala jenis ini merupakan sakit kepala yang paling biasa di alami oleh rakyat Malaysia. Kebiasaannya sakit kepala ini tidaklah seteruk jenis sakit kepala yang lain, namun ia boleh bertahan berjam-jam, kalau tidak berhari-hari.

Sakit kepala ini disebabkan oleh ketegangan pada otot belakang mata. Sakit kepala boleh berlaku secara kerap selagi mana puncanya tidak ditangani. Selain itu, sakit kepala jenis ini juga didatangi dengan rasa yang tidak sihat.

Anda boleh menghilangkan sakit kepala jenis ini dengan mengambil ubat tahan sakit (paracetamol, panadol), banyakkan berehat, tidur dan sebarang aktiviti yang boleh menghilangkan stress dan tekanan diri anda.


2. Migrain

Migrain merupakan salah satu jenis sakit kepala yang sangat teruk dan ia bersangkut paut dengan genetik, walaupun kajian saintifik tidak boleh menentukan sebab sebenar berlakunya migrain ini.

Migrain boleh menyebabkan rasa sakit kepala yang teramat sangat dan juga boleh menyebabkan muntah. Migrain juga dilaporkan boleh menyebabkan satu keadaan yang dikenali sebagai penglihatan ‘aura’, iaitu anda akan melihat bintang-bintang yang berkelip-kelip dalam penglihatan anda disamping lemah badan.

Migrain dilaporkan berlaku kepada yang mengalami kesan reaksi makanan, perubahan hormon, kemalangan dan perubatan/rawatan. Migrain agak sirius jika anda sering mengalaminya, oleh itu anda perlu dapatkan rawatan doktor.

Anda boleh menghilangkan migrain ataupun mengurangkan rasa sakit kepala migrain dengan kerapkan bersenam dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menenangkan diri anda.


3. Sakit Kepala Jenis Kluster (Cluster headache)

Sakit kepala jenis ini adalah sakit kepala yang sangat teruk, yang mana anda akan merasakan satu tekanan yang kuat pada mata anda. Sesetengah kes boleh membuatkan mata anda berair. Jika anda sering mengalaminya, dapatkan rawatan doktor dengan cepat.

Sekiranya anda mengalami sakit kepala ini, elakkan daripada mengambil alkohol dan nicotin (rokok). Hal ini kerana kedua-dua bahan ini bersangkut paut dengan berlakunya sakit kepala jenis ini.


4. Sakit Kepala Oleh Sebab Penggunaan Ubat Berlebihan

Elakkan daripada mengambil ubat tahan sakit secara berlebihan ataupun lebih dos, kerana ia boleh mengakibatkan kesan sebaliknya. Sakit kepala ini dikenali sebagai medication overuse headache (MOH) dan ia boleh dirawat dengan berhenti pengambilan ubat tahan sakit tersebut. Biasanya akan hilang setelah beberapa hari.

Tahap kesakitannya boleh disamakan dengan sakit kepala tegang (i).

Bagi yang mengalaminya, anda perlu elakkan daripada mengambil ubat tahan sakit yang mengandungi opioids (codeine, morphine, hydrocodone) ataupun butalbital (Fioricet, Ezol, Phrenilin).


5. Sakit Kepala Oleh Sebab Alahan

Elakkan daripada memakan makan yang boleh memberikan anda sakit kepala. Alahan kepada sesetangah makanan boleh mengakibatkan sakit kepala disamping hidung berair, mata berair dan gatal.

Sesetengah alahan bermusim, seperti alahan kepada debunga boleh diatasi dengan antihistamines.

Bagi yang mempunyai alahan kepada makanan, ia mungkin MSG. Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berkaitan dengan MSG. Selain ia meninggalkan kesan sakit kepala, anda juga akan merasakan sakit dada.

Selain itu, anda juga boleh mendapat sakit kepala jenis ini jika memakan/meminum sesuatu yang sangat sejuk dalam jangka masa yang sangat singkat. Perkara ini lebih biasa dikenali sebagai “brain freeze” ataupun “ice cream headache“.

Sakit kepala ini sangat berat, namun ia akan hilang dalam jangka masa yang sangat singkat dan secara semula jadi, tanpa perlukan sebarang ubat dan rawatan.


6. Sakit Kepala Oleh Sebab Pertukaran Penjagaan Diri

Sakit kepala jenis ini boleh berlaku kepada seseorang yang mengalami sakit mata, kelaparan, sakit leher atau sakit belakang, dan malah kepada orang yang mengubah cara ikatan rambut.

Sakit kepala jenis ini tidaklah sangat teruk, lebih kurang dengan sakit kepala ketegangan (i). Sakit kepala ini boleh dirawat dengan pengambilan ubat tahan sakit dan sedikit tidur.


Tips Tambahan

1. Sekiranya anda memerlukan cermin mata, ataupun memang bercermin mata, pastikan anda memakainya semasa membaca ataupun melakukan sesuatu kerja. Jika tidak memakainya, ia boleh mendatangkan masalah sakit kepala.

2. Elakkan daripada menggunakan ketulan ais kiub untuk tujuan letak di atas kepala, kerana bucunya boleh menyebabkan tekanan yang kuat kepala kulit dan kemungkinan boleh menyebabkan sakit kepala anda bertambah teruk.

3. Gunakan pek ais yang direka kekal lembut walaupun dalam keadaan beku untuk tujuan diletakkan di atas kepala.

4. Kenal pasti kenapa berlakunya sakit kepala tersebut dan elakkan daripada mengamalkan penyebab tersebut. Anda boleh merancang perkara ini dan lantas mengatasi masalah sakit kepala anda secara total.

5. Sesetengah orang, lampu CFL (compact fluorescent light bulbs) boleh menyebabkan sakit kepala. Cuba tukar jenis lampu tersebut kepada LED.

6. Anda boleh atasi masalah sakit kepala dengan kerapkan tidur dan berehat. Sekurang-kurangnya anda tidur selama 20 minit.

7. Jika anda mengalami sakit kepala ketengangan (strain headache), elakkan dari televisyen dan peralatan elektronik. Dan jangan membaca buku yang mempunyai tulisan yang sangat kecil.

8. Jika anda mengikat rambut, buka ikatan tersebut dan biarkan rambut anda bebas.

9. Bungkuskan pek ais dalam kain yang lembut dan letakkannya pada dahi atau kepala. Elakkan daripada meletakkan ais secara terus keatas kulit.

10. Jika anda mengambil pil tahan sakit, dan cuba untuk berehat/tidur tetapi tidak berhasil. Cuba makan sedikit dan minum jus buah-buahan.

11. Banyakkan minum air masak atau air mineral sebaik sahaja anda merasakan sakit kepala.


Amaran!

1. Kadang-kala remedi, petua dan rawatan tradisional mungkin boleh mendatangkan kesan yang sebaliknya ataupun meninggalkan kesan alahan. Oleh itu, sekiranya anda berminat untuk menggunakan kaedah rawatan tradisional, pastikan anda berhenti menggunakannya sekiranya mendapat kesan sampingan.

2. Barah boleh menyebabkan sakit kepala, walaupun sakit kepala bukanlah semestinya menandakan anda mengalami barah. Kebiasaannya sakit kepala ini akan datang bersama dengan simptom-simptom yang lain, termasuklah lemah badan, penglibatan kabur, epileptic fits, perubahan perwatakan ataupun hilang keseimbangan badan. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, dapatkan pemeriksaan doktor dalam kadar segera.

3. Sesetengah ubat-ubatan boleh memberikan kesan sampingan sakit kepala, seperti ubat kawalan mengandung. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda mengambil ubat secara kerap dan mengalami masalah sakit kepala. Sakit kepala tersebut mungkin kesan sampingan ubat tersebut.

4. Kemalangan yang melibatkan trauma juga boleh menyebabkan sakit kepala. Dalam hal ini, ia juga sering dikaitkan dengan concussion, keretakan kepala, pendarahan dalaman dan lain-lain, anda perlu dapatkan rawatan doktor dengan segera. Sakit kepala yang berkait dengan trauma ini agak sukar untuk diatasi kerana ia berhubung dengan psikologi pesakit, oleh itu, perlu mendapatkan bantuan daripada pakar psikologi dalam rawatan tersebut.

5. Aneurysm boleh menyebabkan sakit kepala secara mengejut, ianya sangat sakit yang sering bersama sakit leher, penduaan penghilatan, dan pitam. Dapatkan rawatan medikal yang segera. Dalam kes ini, ia memerlukan pembedahan.

6. Patuhi dos ubat yang anda guna. Sesetengah ubat yang anda ambil boleh memberikan kesan yang negatif sekiranya menggunakannya dengan kadar yang berlebihan atau tidak mengikut arahan. Oleh itu, sila baca dan faham setiap arahan yang dinyatakan pada botol ubat tersebut ataupun nasihat doktor.

7. Elakkan daripada mengambil NSAID, ataupun nonsteroidal anti-inflammatory drugs sekiranya anda mengalami ulser, masalah gastrointestine, masalah penghadaman, ataupun lelah. Kebiasaannya NSAID mengandungi aspirin, ibuprofen, naproxen (Aleve), dan ketoprofen (Actron, Orudis).


Kesimpulan

Secara ringkas terdapat banyak banyak cara rawatan sakit kepala, dan rawatan tersebut perlulah mengikut jenis sakit kepala tersebut. Hal ini kerana sakit kepala yang disebabkan oleh stress boleh diatasi dengan cara pendekatan yang berbeza dengan sakit kepala yang berlaku disebabkan oleh barah.

Oleh itu, anda perlulah kenal pasti jenis sakit kepala, tahap kesakitan dan kekerapan ia berlaku untuk dapatkan ubat yang paling berkesan kepada anda. Dapatkan bantuan doktor adalah langkah yang terbaik.

Adakah anda mengalami masalah sakit kepala dan menjumpai petua yang tidak dinyatakan di atas? Silalah berkongsikan pengalaman anda dengan meninggalkan komen dibawah.

Dan sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, silalah berbuat demikian dengan menyatakan soalan anda dibawah.

Harap artikel yang detail ini boleh membantu anda menghilangkan sakit kepala anda dengan efektif.

Sekian~