Iklan Jana wang Di Rumah
KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 kes pembakaran terbuka dikesan di
seluruh negara sehingga 17 September lalu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Jelasnya, daripada jumlah itu, 18 kes telah disiasat untuk
diambil tindakan di mahkamah, dan 215 kes lagi dikenakan kompaun.
"15 kes juga telah dikeluarkan Notis Arahan dan 41 kes
telah dikeluarkan Surat Arahan. Selain itu, sebanyak 18 kes pembakaran terbuka
telah disediakan kertas siasatan untuk diambil tindakan mahkamah," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pembakaran terbuka itu melibatkan kawasan hutan,
pertanian, industri, pembinaan, tapak pelupusan sampah, belukar dan pembakaran
terbuka kecil.
Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan akan disiasat
mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan
pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama
tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan
bagi setiap kesalahan," tambahnya lagi.
Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran
terbuka bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
"Semua pihak dinasihatkan agar tidak melakukan
pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki
atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga
menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak
sengaja," kata Wan Junaidi.
Posted by Unknown in Artikel, Home, Media