Iklan Jana wang Di Rumah
Setiap detik pasti
ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi
yang baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan
mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru. Kita di dunia adalah umpama
seorang musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok.
Kemudian dia akan meneruskan perjalanannya ke
alam kubur ataupun alam barzakh. Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (?????
??????) oleh Abu Bakr al-Razi, barzakhbermaksud dinding pembatas antara dua
benda. Berdasarkan (iktikad) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan
berada di dalam satu alam yang dinamakan alam barzakh. Ia terletak di antara
alam dunia dan alam akhirat. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Mukminun ayat 99-100:
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal
maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku,
kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - supaya aku mengerjakan amalan
soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan kau
akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja
yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari
mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).
Seseorang yang sudah mati dan berada di alam barzakh dapat
menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat
kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam
al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara
penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka
apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang
itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang
sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."
Dr A’idh Abdullah
al-Qarni menulis di dalam sebuah bukunya yang cukup terkenal bertajuk “Malam
Pertama Di Alam Kubur”: Seorang penyair arab pernah mendendangkan syairnya:
Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku
terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku
berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur
adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam
tersebut .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba.
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan
berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i berkata: “ Setiap orang yang takut pada
sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin
lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu
tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali
selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: “Dahulu
dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu
lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia
sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”
Umar bin Abdul Aziz pernah
berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam satu majlis, Wahai
fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang
kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar di dalam
kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.
Pada suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi
jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang telah bersurai kecuali beliau dan beberapa orang sahabatnya
yang masih tidak berganjak dari kubur
tersebut. Tidak lama kemudia sahabatnya
bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa
engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata:
“ Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku
dari belakang. Mahukah kalian tahu
apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah tentu wahai Amirul
Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz,
mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar.
Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut
darahnya serta aku kunyah dagingnya.
Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota
badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke
tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut
pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis.
Dari betis menuju ke telapak kakinya.
Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun
menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit.
Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup
akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana
keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia?
Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu
pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.
Antara syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri menghadapi kematian
dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Tetapi ramai di
kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman yang berbahaya ini. Jika pun
kita mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah
saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang
terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita
keras dan gelap dari cahaya.
Saudaraku sekalian, jalan Allah tidak dapat kita tempuhi
dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita
merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia dengan penjelasan dahsyatnya
kubur. Rawatilah hati kita agar ia hidup kembali. Untuk merawat hati yang keras
ini boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa perkara:
Pertama- Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir.
Dengan cara ini hati menjadi hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah ataupun
jarang jarang membaca al-Quran adalah
hati yang mudah terpengaruh dengan tipu daya syaitan.
Kedua- Sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah.
Kita hendaklah bersikap kepada Tuhan sebagai seseorang yang sangat
memerlukan-Nya. Apabila kita ditimpa kesulitan, merintih dan berdoalah
kepada-Nya.
Ketiga – Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin
tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada Tuhan-Nya. Di samping itu
juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan
membuang masa. Ini termasuklah majlis tari-menari dan juga konsert-konsert hiburan yang melalaikan.
Keempat- Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan
kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan
dunia dan tidak panjang angan-angan.
Kelima- Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat
disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah
cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada
kematian”. (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa kematian itu
pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya merupakan
satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
“Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat
ajalnya, apakah engkau telah bersiap sedia menghadapi malam pertama? Wahai
pemuda gagah yang bergelimang harta,
pangkat dan kuasa, apakah engkau telah mempersiapkan diri menghadapi
malam pertama? Ia adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin menjadi malam
pertama bagi malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi
malam-malam neraka selanjutnya.
Artikel ini pada asalnya ialah teks khutbah yang yang
ditulis untuk terbitan JAKIM dan telah disunting untuk bacaan dalam bentuk
artikel.
Posted by Unknown in Akhir, Artikel, Home