20 tahun menghilang, suspek pengebom kediaman tentera AS ditangkap



DUBAI: Suspek utama dalam serangan bom di kediaman Menara Khobar pada 1996 di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi sudah ditangkap selepas kira-kira 20 tahun melarikan diri, lapor akhbar hari ini. Akhbar tempatan Asharq al-Awsat melaporkan, Ahmed al-Mughassil, ketua Hezbollah al-Hejaz yang dituduh di mahkamah AS kerana terbabit dalam serangan yang meragut 19 nyawa askar AS dan lebih 500 lagi cedera, ditahan di Beirut, ibu negara Lubnan dan dipindahkan ke Riyadh. Pihak berkuasa Arab Saudi bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk ulasan. Arab Saudi dan AS menuduh Iran sebagai pihak yang merencanakan pengeboman menara itu menggunakan trak. Iran menafikan sebarang rancangan terhadap serangan itu.

Asharq al-Awsat memetik sumber rasmi Arab Saudi sebagai berkata, anggota keselamatan Arab Saudi menerima maklumat mengenai kehadiran Mughassil, 48, di Beirut. "Penangkapan Mughassil di Lubnan dan kemudiannya dipindahkan ke Arab Saudi adalah satu kejayaan berkualiti kerana lelaki ini berjaya menyembunyikan diri dan identitinya sekian lama," kata akhbar itu tanpa menjelaskan bila dan pihak yang menahan suspek. Pada tahun 2006, Hakim Mahkamah Persekutuan AS memerintahkan Iran membayar AS$254 juta kepada 17 keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan itu. Dalam keputusan penghakiman setebal 209 muka surat itu mendapati trak yang membawa bom berkenaan berlepas dari sebuah pangkalan di Lembah Bekaa, Lubnan yang dikuasai oleh Hezbollah dan Pengawal Revolusi Iran. Malah, serangan itu diluluskan oleh Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - Reuters