Iklan Jana wang Di Rumah
Kehidupan seharian yang sibuk dan permintaan demi permintaan
yang menyesakkan dari tempat kerja dan rumah sudah pasti membuatkan kita hilang
arah. Fikiran yang berserabut boleh mengurangkan fokus kepada perkara-perkara
utama yang perlu diselesaikan.
Akhirnya, kerja tak selesai dan fikiran makin berserabut.
Untuk menjadi seorang yang produktif, kita perlu mempunyai pandangan yang jelas
dalam membezakan perkara yang penting dengan perkara yang kurang penting.
Kita harus mempunyai fikiran yang tenang untuk tujuan ini.
Ambillah langkah-langkah dibawah ini untuk menenangkan fikiran anda.
1. Tarik Nafas.
Ingat lagi bagaimana anda bersenam di waktu pagi semasa
bersekolah dulu? Ingat lagi bagaimana kita memulakan senaman dengan menarik
nafas dengan kaedah yang betul? Gunakan teknik ini untuk mula mengosongkan
fikiran anda.
2. Ambil Wudhuk.
Jika anda seorang yang beragama Islam, mengambil wudhuk
boleh menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah manusia dapat memantapkan lagi
rohani kita dan air yang bersih boleh mengembalikan kita kepada fitrah
kejadian. Air yang segar dapat memberi tenaga dan fokus yang diperlukan dan
wajah akan pasti kembali ceria.
3. Tulis.
Ada banyak perkara yang bermain di dalam fikiran anda. Anda
perlu mengenalpasti apa sebenarnya yang anda fikirkan untuk membolehkan minda
mengurus perkara-perkara ini. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis
satu-persatu apa yang anda sedang fikirkan. Jangan cuba untuk mengenalpasti kategori
perkara-perkara ini dahulu, teruskan sahaja menulis.
4. Kenal pasti Yang Utama.
Setelah anda rasa puas dengan apa yang anda tulis, anda kini
perlu kenalpasti yang mana yang paling utama. Tandakan dengan nombor atau
gunakan “rating system” yang baik untuk membantu anda dalam proses ini. Lebih
baik lagi jika anda klasifikasikan perkara-perkara ini berpandukan matlamat
hidup anda dan apa yang paling penting dalam hidup anda; keluarga? kerjaya?
cinta?
5. Buang Yang Tidak Penting.
Pangkah atau padamkan perkara-perkara yang remeh dan tidak
relevan. Perkara-perkara remeh yang anda fikirkan boleh jadi perkara seperti
“Apa yang kekasih lama aku sedang lakukan?” atau “Osama hidup lagi kah?”.
Anda akan dapat lihat yang kebanyakan perkara yang bermain
di fikiran anda sebelum ini adalah perkara-perkara yang tidak relevan dan hanya
membuatkan anda kurang produktif dalam menyelesaikan urusan harian dan
masalah-masalah lain yang lebih penting.
6. Cukup Rehat & Tidur.
Dengan memejamkan mata, atau memandang jauh ke arah
kehijauan alam akan dapat memberi anda perasaan yang tenang. Tidur yang tidak
cukup bermakna minda anda tidak mendapat rehat yang secukupnya. Sebab itu minda
anda liar berfikir. Pejamkan mata untuk seketika di waktu rehat anda, atau
keluar ambil angin dalam keadaan yang selesa dan positif.
7. Kurangkan menonton TV atau membaca akhbar di waktu pagi.
Akhbar harian kita saban hari penuh dengan berita-berita
yang menyanyat hati. Jenayah, kemalangan, bencana dan lain-lain boleh memberi
tenaga yang negatif kepada kita. Jika anda mengamalkan tabiat membaca
berita-berita ini di waktu anda bersarapan, anda akan bermula hari anda dengan
pandangan yang negatif. Bangun pagi sahaja fikiran anda sudah berserabut.
Elakkan atau tukar masa anda untuk membaca akhbar.
Menonton TV dengan berlebihan akan membuatkan fikiran anda
menerawang jauh tentang perkara-perkara yang cuba disampaikan dalam rancangan
yang anda tonton. Fokus anda kepada perkara yang lebih penting akan terjejas
kerana anda mengizinkan info-info dan idea-idea baru ini masuk ke dalam minda
anda. Kurangkan menonton TV.
8. Kembali Kepada Alam.
Dalam kehidupan kota yang sibuk dan sesak, kita semua
bergerak dengan pantas. Teknologi masa kini menjadikan kehidupan harian semakin
laju. Mengembalikan diri kepada alam semulajadi akan dapat melambatkan waktu
dan membolehkan anda hidup dalam waktu kini; Bukan hidup dalam waktu dahulu
atau waktu hadapan, di mana anda terkejar-kejar dengan impian demi impian dan
dilambatkan pula dengan kisah-kisah sedih dan sesalan demi sesalan tentang apa
yang sudah pun berlaku.
Bawa keluarga anda mandi air terjun atau pergi memancing
dengan rakan, dan waktu akan menjadi perlahan bagi anda. Bila waktu bergerak
perlahan, anda akan dapat memberi fokus.
9. Lepaskan.
Anda risau tentang sesuatu? Anda rasa tidak puas tentang apa
yang telah anda lakukan? Rasa marah? Berdendam? Tertekan? Cara yang paling
mudah untuk mengosongkan fikiran yang berserabut adalah dengan mengalah dan
melepaskan. Kita perlu menjadi seorang yang berjiwa mantap dan tegas dalam
mengawal perasaan untuk membolehkan diri maju ke hadapan. Walaupun
perasaan-perasaan ini adalah semulajadi, tetapi kebanyakannya adalah tidak
menguntungkan. Fikirkanlah.
10. Kemas Ruang Anda.
Tempat kerja atau kediaman anda perlu sentiasa berada dalam
keadaan yang kemas. Mata kita sentiasa melihat, dan melihat keadaan yang tidak
kemas sedikit-sebanyak akan mempengaruhi minda anda. Kita cuma tidak sedar akan
hakikat ini. Ambillah tindakan dan inisiatif untuk mengemas dan anda pasti akan
mendapat tenaga yang baru.
11. Berkongsi Masalah.
Jangan simpan permasalahan anda. Jika anda mempunyai kekasih
atau seseorang yang penting dalam hidup anda, berkongsilah masalah anda dengan
mereka. Mendengar masalah orang lain juga dapat membantu anda dalam
menyelesaikan masalah anda sendiri. Kadang-kadang kita tidak sedar tentang
sesuatu yang lebih baik sebagai jalan penyelesaian. Dengarlah dan berbicaralah
dengan hati dan minda yang terbuka.
12. Sedikit Lagi.
Ingat lagi perkara-perkara yang anda tuliskan dalam langkah
ketiga hingga langkah kelima? Buang separuh dari perkara-perkara ini.
13. Buat.
Fikir dan buat. Jangan fikir dan terus berfikir. Buat
perkara yang paling penting dan tidak mengambil masa yang lama terlebih dahulu.
Jangan bertangguh!
Posted by Unknown in Artikel, Home